KKKKKKKK


Tuesday, May 10, 2011

Kecederaan Lutut

LIGAMEN kruciate hadapan (ACL) terputus adalah sejenis kecederaan sendi lutut di mana ACL terkoyak atau tercedera. ACL adalah salah satu dari empat ligamen penting yang memberi kestabilan kepada sendi lutut.
Ligamen lain adalah ligamen kruciate belakang (PCL), ligamen kolateral medial (MCL) dan ligamen kolateral lateral (LCL). ACL terlekat antara hujung bawah tulang paha (femur) dan hujung atas tulang kering (tibia) dalam sendi lutut.

Ia menyilang di dalam sendi lutut dalam arah pepenjuru dan di sisinya, PCL pula menyilang dalam arah bertentangan dengan membentuk palang di antara satu sama lain, itulah sebabnya kedua-dua ligamen ini dipanggil 'cruciate' atau 'genting' sempena bentuk mereka di dalam sendi lutut itu.

Fungsi utama ACL adalah untuk menghalang pergerakan tulang kering daripada bergerak ke hadapan dari tulang paha. Sementara PCL pula untuk menghalang tulang kering daripada bergerak ke belakang tulang paha.



Sebab itulah kedua dua ligamen kruciate ini sangat penting dalam memberi kestabilan pada sendi lutut, terutama semasa aktiviti sukan yang banyak membabitkan sentuhan badan dan juga pertukaran arah pergerakan dan pergerakan berputar. Sebab itulah kecederaan ACL akan memberikan implikasi yang serius kepada kestabilan dan fungsi sendi lutut.


Selalunya atlit yang mengalami kecederaan ACL akan mengalami kemerosotan dalam prestasinya kerana kesukaran yang dihadapi disebabkan lututnya yang tidak stabil.


Bagaimanakah ACL boleh tercedera?

ACL terputus atau terkoyak sebenarnya adalah kecederaan lutut yang sangat kerap berlaku dikalangan ahli sukan. Selalunya ACL tercedera apabila sendi lutut terpusing dengan kaki terpacak kaku ke tanah atau ketika terjatuh dengan kaki terlipat keluar ketika mendarat selepas melompat.

ACL juga boleh tercedera sekiranya lutut ditendang dengan kuat dari arah luar sebagaimana boleh berlaku ketika bermain bola sepak atau ketika terkena terjahan semasa bermain rugbi. Kecederaan ACL ini kadang-kadang berlaku secara kombinasi dengan kecederaan meniskus dan MCL.

Kecederaan ACL lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki dengan nisbah dua hingga lapan kali. Alasan kepada perbezaan ini masih tidak dapat dipastikan dengan jelas tetapi berdasarkan kajian terkini, andaiannya adalah disebabkan oleh bentuk anatomi wanita yang berbeza, kesan hormon estrogen ke atas ACL dan kerana terdapat perbezaan dalam imbangan otot di kalangan lelaki dan perempuan.


Simptom kecederaan ACL


*Semasa berlaku kecederaan bunyi “POP” atau bunyi benda direntap boleh didengar dari sendi lutut tersebut.

*Lutut terasa longgar dan hilang kawalan, kemudian lutut boleh membengkak.

*ACL terputus selalunya menyebabkan sakit yang teramat sangat dan serta merta selepas berlakunya kecederaan.

*Lutut membengkak selalunya berlaku serta merta dan nyata, tetapi boleh juga bengkak terjadi perlahan-lahan dan sedikit saja.

*Lutut yang tercedera selalunya mempunyai pergerakan yang terhad terutama bila hendak meluruskan kaki kerana sendi lutut tidak dapat diluruskan sepenuhnya.

*Lutut yang tercedera selalunya berasa sakit bila sekeliling sendi ditekan dengan jari.

*Tanda positif bila dilakukan pemeriksaan klinikal ujian “Anterior Drawer” dan ujian "Lachman’s”.

*Sekiranya terdapat kecederaan tulang rawan dan meniskus selalunya permukaan sendi berasa sakit bila ditekan.


Rawatan untuk ACL terputus

Apa yang para atlit boleh lakukan?


*Segera berhenti bermain atau bersukan

*Memberi rawatan kecemasan R.I.C.E. (Rest, Ice, Compression, Elevation) dengan segera kepada lutut yang tercedera.

*Dapatkan rawatan pakar perubatan dengan segera.


Apa yang para doktor boleh lakukan?

*Seorang doktor atau pakar kecederaan sukan boleh melakukan pemeriksaan ke atas sendi tersebut dan memberi kepastian sama ada ligamen ACL terputus atau tidak.

*Mendiagnos kecederaan sampingan pada sendi yang tercedera.

*Melakukan pemeriksaan sinar-x dan imbasan MRI pada lutut yang tercedera

*Merujuk kepada pakar sekiranya rawatan pembedahan diperlukan.

*Memberikan program rehabilitasi pra pembedahan untuk menguatkan otot-otot lutut dan mengurangkan bengkak pada lutut dalam penyediaan untuk pembedahan. Ini dapat membantu dalam mendapatkan keputusan terbaik selepas pembedahan.


Apakah Pembedahan yang biasa dilakukan?

*Pembedahan yang biasa dilakukan adalah secara artroskopik iaitu pembedahan yang menggunakan teropong kamera yang dimasukkan ke dalam sendi lutut menerusi tebukan kecil pada kulit.

Sekiranya kecederaan ACL adalah jenis yang membabitkan tulang tempat perlekatan ACL terkopak dari tulang Kering (Tibia) dan fiber ACL masih utuh, doktor akan meletakkan kembali serpihan tulang berkenaan ke tempat asalnya dengan menggunakan skrew atau jahitan.

*Sekiranya fiber ACL tersebut putus, fiber berkenaan dibuang dan ligamen ACL baru akan dibentuk dengan menggunakan graf yang diambil dari tendon paha atau Hamstring iaitu tendon Semitendinosus dan tendon Gracillis atau menggunakan gabungan tendon Patella dan sebahagian tulang tempurung dan tulang Kering (BTB graft).


Bilakah pembedahan diperlukan?

*Rawatan secara pembedahan adalah lebih kerap dilakukan berbanding secara tanpa pembedahan (konservatif) untuk kecederaan ACL.

*Keputusan sama ada perlu dirawat secara pembedahan adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk umur atlit, gaya hidup, pembabitan dalam aktiviti sukan, jenis pekerjaan, tahap ketidakstabilan sendi lutut dan kecederaan sampingan sekiranya ada.

*Pesakit yang sudah berusia dan tidak lagi aktif melakukan aktiviti luar sekiranya terputus ligamen ACL kerana terjatuh selalunya tidak akan menjalani pembedahan sebaliknya hanya dirawat dengan fisioterapi dan rehabilitasi. Kadang-kadang pesakit dipakaikan penyokong lutut kerana ia mampu memberi sedikit kestabilan kepada lutut yang tanpa ACL ini.

*Pesakit yang lebih muda dan aktif melakukan aktiviti sukan dan berkemungkinan mampu mengikuti program rehabilitasi yang kompleks dengan baik pesakit ini biasanya dirawat secara pembedahan.

*Sejarah kecederaan ACL menunjukkan lutut yang mempunyai kecederaan ACL dan tidak dirawat secara pembedahan mempunyai kadar pembentukan sakit sendi yang kronik, seperti osteoartritis, lebih cepat berbanding lutut yang normal atau dirawat secara pembedahan.

Bagi mereka yang masih muda dan aktif pula, mempunyai lutut yang longgar kerana ketiadaan ACL memaksa mereka menukar aktiviti sukan kepada jenis yang tidak membabitkan sentuhan badan dan pergerakan berpusing seperti joging.


Berapa lamakah atlit perlu berehat daripada aktiviti sukan?

Ini sangat bergantung kepada cara pendekatan pakar bedah dan pakar fisioterapi terhadap proses rehabilitasi. Sesetengahnya memilih program pemulihan yang dipercepatkan di mana atlit boleh kembali bersukan dan bermain dalam pertandingan yang kompetitif dalam masa enam bulan selepas pembedahan. Ada juga memilih tempoh pemulihan yang lebih lama iaitu sembilan bulan sebelum seseorang atlit itu dibenarkan bermain secara kompetitif.


Apakah Jenis-jenis sokongan lutut yang biasa dipakai?

Sokongan lutut atau brace boleh memberi perlindungan dan sokongan pada lutut yang tidak stabil. Ia menghalang kecederaan kepada lutut yang sihat dan menyokong lutut yang tidak stabil.

*Brace lutut berengsel - Ia mempunyai lapisan penguat pada kedua-dua sisi lutut yang dibuat daripada besi dan boleh dibengkokkan pada engselnya. Jenis ini mampu memberi sokongan yang baik kepada lutut.

Sesetengah brace menggunakan engsel boleh laras yang mana titik putaran berubah mengikut pergerakan lutut dengan itu sokongan yang diberikan adalah lebih sempurna. Bagaimanapun tidak ada sokongan yang mampu memberi perlindungan seratus peratus kepada ACL yang mana ia hanya memerlukan beberapa darjah putaran sahaja untuk mencederakannya.

*Penyokong lutut yang distabilkan - Jenis ini mempunyai panel sisi yang diperkuatkan untuk memberi sokongan tambahan berbanding sokongan lutut yang standard. Ia memberi sokongan dari tekanan sisi kepada lutut.

Selalunya terdapat plat besi yang fleksibel atau tali anjal yang dijahit pada kedua-dua sisi penyokong lutut berkenaan. Jenis ini memberikan sokongan sisi yang kurang tetapi mempunyai bentuk yang lebih nipis berbanding brace lutut berengsel.

*Penyokong lutut asas - Penyokong lutut jenis asas ini tidak mempunyai bahan sokongan tambahan pada sisinya dan selalunya dibuat daripada bahan neoprene yang boleh simpan haba. Jenis ini hanya memberikan sokongan yang sederhana kepada lutut.

Pengalaman Pembedahan Lutut

Bagi anda yang pernah atau bakal mengalami kecedaraan lutut dan pembedahan lutut, mungkin tulisan saya ini boleh dijadikan panduan. Ya…siapa tahu, malang tak berbau, seperti saya. Kecedaraan lutut pertama saya alami sewaktu masih sekolah menengah lagi semasa latihan Tea Kwon Do. Pada masa itu cuma ligmen saja yang terkoyak. Masa berlalu begitu pantas sehinggalah tamat persekolahan dan memasuki alam perkerjaan. Disebabkan saya seorang yang aktif bersukan, sememang saya tidak senang duduk di bangku sahaja. apa jenis sukan saya pasti turut serta tidak kira olahraga , lasak , extrim dan sebagainya. Kecerderaan kejadian kedua pada lutut ialah semasa bermain bola. Sewaktu membuat pusingan badan, entah bagaimana tiba-tiba sahaja saya terdengar bunyi ‘pop’ di lutut saya. Saya terhenti dan jatuh serta merta. Kaki tak boleh bergerak seolah-olah terlekat pada tanah. Kawan-kawan mengusung saya keluar padang. Selepas itu hampir dua minggu tak dapat berjalan. Beberapa tahun kemudian, perkara yang sama berlaku kali ketiga. Kejadian ketiga berlaku ketika gotong royong rumah keluarga. Ketika menuruni anak tangga saya telah tergelincir dan terjatuh kebawah. Kecedaraan kali ini benar-benar telah membuatkan saya berhenti daripada bergiat secara aktif dalam bidang sukan. Puncanya ialah kaki saya (yang sama) terhempas ke tanah secara tidak normal. Sejak itu, saya berasa sesuatu yang tidak kena pada lutut saya. Selain bengkak pada awalnya, lutut saya sering ‘terlepas’ secara tiba-tiba. Apabila keadaan ini berlaku, saya tidak boleh berjalan malah terasa sangat sakit seolah-olah tulang lutut terkehel. Kadangkala mengambil masa yang lama untuk membetulkannya. Setelah rasa sakit pada bahagian lutut reda, keadaan lutut ‘terlepas’ secara tiba-tiba masih berlaku. Kadangkala dalam keadaan duduk bersila, dan apabila berdiri lutut boleh ‘terlepas’. Ia juga boleh berlaku ketika berjalan, terutama apabila terpijak bahagian permukaan yang tidak rata.

Dipendekkan cerita, akhirnya saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan lutut pada penghujung tahun 2010. Mungkin disebabkan faktor usia, kesakitan pada bahagian lutut yang tercedera itu mula dirasai dan sering berlaku.

Saya ke Hospital Besar Kuala Lumpur, lalu diperkenalkan dengan seorang doktor pakar tulang (ORTO). Akhirnya saya dirujuk ke seorang lagi doktor pakar tulang. Kali ini bukan di Besar Kuala Lumpur tetapi di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tenku Mizan Hospital di Wangsa Maju memandang ianya berdekan dengan rumah saya. Tanggal 13 Januari 2011 saya diperkenalkan dengan Brig Jen Dato, Dr. Amirrudin, seorang doktor pakar bedah ORTO yang saya kira sangat berpengelaman. Dato, Amir mengatakan lutut selalu ‘terlepas’ disebabkan oleh ligamen penyambung antara tulang peha dengan tulang kaki telah terputus. Istilah perubatan dipanggil kerosakan PCL. Dato, Amir mencadangkan pembedahan perlu dilakukan, iaitu penggantian fungsi ligamen menggunakan Pin/Graft Wire. Pin/Graft Wire tersebut perlu dipasang secara kekal menggunakan dua jenis skru (Transfix Screw dan Interference Screw). Tanpa berfikir panjang saya bersetuju kerana risau rasa sakit semakin menjadi-jadi. Terkejut kerana tarikh yang dicadangkan oleh Dato, Amir ialah pada bulan Mei 2011. Terasa sangat lama menunggu, lantas saya mohon dipercepatkan. Nasib baiklah, setelah semakan dibuat, akhirnya ketetapan dibuat iaitu 31 April 2011, kerana kebetulan salah seorang pesakit yang sepatutnya dibedah pada masa itu menarik diri.

Secara ringkas:
Tarikh masuk wad: 20 April 2011
Tarikh pembedahan: 21 April 2011
Masuk Dewan Bedah: 01.30 Petang, 21 April 2011.
Keluar Dewan Bedah: 0610 Petang,. 21 April 2011.
Tempat pembedahan: HAT Tengku Mizan Wangsa Maju Kuala Lumpur
Kos pembedahan: (Kalau Tak Sakit Tak Payah Gatal-Gatal Nak Operate) Kos Mahal.

Pengalaman dan prosedur:
Banyak perkara yang ditanya dan diperiksa oleh doktor. Antaranya pengalaman pembedahan, sejarah penyakit keluarga, pemeriksaan jantung, pemeriksaan sampel darah dan sebagainya. Pesakit juga perlu menandatangani borang-borang tertentu. Kalau tak silap tiga kali.

Bius separuh badan
Bab ini yang agak menyakitkan. Semasa di dewan bedah, seorang Doktor Pakar Bius Meminta saya duduk membongkok lalu bius pertama dimasukkan. Saya kira bius pertama jarumnya agak halus dan bertujuan untuk membuatkan kebas setempat supaya bius berjarum besar dapat dimasukkan tanpa kesan sakit yang kuat. Ketika bius kedua dimasukkan, terasa jarum agak besar menembusi antara sendi tulang belakang. Terkeluar juga air mata dibuatnya. Sebentar kemudian, paras pinggang sehingga ke bawah tidak terasa apa-apa lagi. Ketika itu saya nampak skrin televisyen di tayang dan saya boleh nampak secara sedar bagaimana Dato, Amir melakukan pembedahan. Saya terperanjat apabila Dato, Amir memaklumkan kecedaraan saya bukan satu. Kecedaraan ACL dan PCL.

Kesan Bius
Syukur, pembedahan lutut saya berjaya. Saya dimasukkan semula ke wad. Doktor memaklumkan, saya tidak boleh bangun selama enam jam selepas pembedahan. Oleh kerana terasa hendak buang air kecil, saya cuba bangun. Tetapi baru tak sampai seminit terasa pening dan muntah. Segera baring semula. Masa itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana siksa menahan air kencing. Doktor memaklumkan itu adalah kesan bius. Ada pesakit lain yang tak boleh kencing langsung, lalu doktor memasukan hos kecil supaya air kencing dapat dibuang keluar. Saya berusaha untuk kencing…setitik demi setitik dan akhirnya dalam tempoh 24 jam saya boleh membuang air kecil secara normal.

PERINGATAN…..Pastikan Anda Kencing Dulu Sebelum Masuk Dewan Bedah.

Bagi saya, pengalaman dibedah tidaklah menyakitkan. Kesan bius itulah yang lebih membuatkan saya sangat tidak selesa. Mungkin kesan itu berbeza-beza bagi orang lain. Kepala terasa pening seperti ‘migrain’ yang amat sangat. Keadaan ini saya rasai selepas selesai dibedah. Mujur ada seorang doktor semasa ditahan di wad HAT menyatakan ubat bius itu akan keluar melalui sistem perpeluhan. Saya tak tahu sejauh mana keberkesanannya. Perkara yang paling menyakitkan ialah 24 jam pertama selepas kesan bius habis. Tak dapat di jelaskan dengan kata-kata.

Peralatan tambahan
Selepas pembedahan, pesakit akan dinasihati supaya menggunakan peralatan sokongan seperti tongkat, compress dan pendekap kaki. Tetapi kesemuanya tidak dibekalkan oleh hospital. Peralatan tersebut perlu dibeli sendiri:
1. Tongkat: RM200.00 (bergantung kepada kualiti/jenis)
2. Compress (pembalut ais atau jelly): RM180.00
3. Pendekap kaki (ACL Knee Brace): RM1,800.00

Cuti sakit
Jika anda seorang kakitangan kerajaan, doktor pakar akan memberikan anda rehat yang secukupnya untuk pulih iaitu cuti sakit selama tujuh minggu. Selama tempoh masa tersebut, hendaklah sentiasa mengikuti rawatan fisioterapi dan senaman ringan sebagaimana yang diajarkan oleh doktor. Sekian.